NOTA, LATIHAN TOPIKAL, UJIAN DAN PEPERIKSAAN

Khamis, 29 November 2012

BIMBINGAN BERKARYA - PANTUN



Salam 1 Malaysia buat semua anak-anak murid cikgu Jehan. Apa khabar hari ini? 

Sudah lihat tema di atas. Opps, hari ini kita hiburkan hati kita semua dengan berpantun ya. Tetapi sebelum itu kita kenali dulu pantun dan setelah kenal barulah kita boleh jatuh cinta betul dengan pantun Melayu ini yang cantik susunan rangkap ayat dalam pantun tersebut. Di bawah ini  juga cikgu telah menjelaskan secara terperinci cara berkarya pantun.  Selamat membaca dan mengarang pantun selepas itu ya.....


BIMBINGAN BERKARYA - PANTUN

PENGENALAN
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.
Sehingga hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi.  Umumnya terdapat dua jenis utama pantun iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait.
Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat.  Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat.  Pantun yang popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat.
Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun.  Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula ialah maksud atau isi pantun.
Antara ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat berikut:
Sebab pulut santan terasa,
        Sebab mulut badan binasa.
Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima, pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja.
Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.

KANDUNGAN PANTUN MELAYU
Pembayang atau sampiran
Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.
Maksud atau isi
Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema).
Perkataan
Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.
Suku kata
Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.
Rima atau bunyi
Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun.  Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun.  Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a.
Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :
Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/,
 Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/,
 Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/,
 A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.

CIRI-CIRI PANTUN YANG BAIK
Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
mengandungi 4 kerat/baris
jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan
jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata
ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)
bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama- a,b,a,b .
bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.
maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup
sarat dengan ciri-ciri tradisional-penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud, mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang melahir dan menggunakannya.

JENIS-JENIS PANTUN
 Pantun 2 kerat
Pantun 4 kerat (jenis paling popular)
Pantun 6 kerat
Pantun 8 kerat
Pantun 10 kerat
Pantun 12 kerat
Pantun 14 kerat
Pantun berkait

FUNGSI PANTUN
Memberi nasihat sosialisasi dan pendidikan
Sindiran atau tempelak
Melepaskan rindu dan kasih sayang
Menyatakan penghargaan/terima kasih
Berteka-teki atau mencabar ketangkasan fikiran
Hiburan atau jenaka

DI MANA ORANG BERPANTUN?
Majlis pertunangan dan perkahwinan
Teks pengacara/juruacara dan ucapan dalam majlis rasmi
Pertandingan berbalas pantun
Alunan lagu rakyat
     -  Lagu Kanak-kanak
     -  Lagu-lagu Asli
     -  Dikir Barat dan Lain-lain:

JOM KITA DENGAR  PULA BERBALAS PANTUN MELAYU MELAKA 



Selasa, 27 November 2012

PRAKTIS TOPIKAL BM 012

Salam 1 Malaysia buat semua anak-anak murid cikgu Jehan yang kini berada di seluruh Malaysia. 

     Apa khabar pagi ini? Tentu semua sudah bersarapan dan berada di depan komputer masing-masing ya. Sambil melayari laman yang murid-murid suka seperti 'miniclips games' dan 'y8' cikgu hendak meminjam murid-murid sebentar dengan melayari laman blog cikgu ini. 

     Hari ini cikgu memuatnaik empat soalan topikal BM 012 yang mudah daripada    latihan cuti sekolah untuk memenuhi waktu senggang anak-anak murid cikgu dengan berfaedah. Cikgu Jehan berharap murid-murid dapat memperuntukan masa yang cikgu hendak itu dengan membuat latihan di bawah ini ya....terima kasih anak-anak murid cikgu yang bijaksana.

      Selamat mencuba dan tahniah!

  

MEMAHAMI PETIKAN CERITA

Salam 1 Malaysia kepada semua anak-anak murid cikgu Jehan. 
     
     Ha,  tentu semua sudah puas bercuti ya. Kalau begitu hari ini cikgu memuatnaik sebuah petikan cerita daripada  . Cikgu mahu murid-murid semua membaca dan memahami petikan tersebut dan setelah itu cubalah menjawab. Murid-murid boleh menyemak jawapan dengan skema jawapan yang telah disediakan dalam slideshares tersebut. 

    Selamat menjawab ya!





Isnin, 19 November 2012

MARI PERGI BERCUTI

Bertemu sekali lagi ya anak-anak murid cikgu Jehan yang disayangi yang berada di seluruh pelusuk Malaysia.
     Apa khabar semua pagi ini? Dah bersarapan... cikgu harap semua sihat dan tentu ramai yang sedang bercuti dalam negara kita sekarang ni ya. Ada yang ke Kuala Lumpur, balik kampung di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan ada yang cikgu lihat dalam facebook cikgu anak-anak cikgu ke Australia dan Thailand. Teruskan percutian murid-murid ya tapi jangan lupa siapkan modul yang telah diberikan pada hari terakhir persekolahan 2012 tu.

    Dalam laman ini sekali lagi cikgu hendak memuatnaik gambar-gambar tempat yang menarik untuk kita pergi bercuti. Tempat-tempat tersebut semuanya di dalam Malaysia. Murid-murid hendak tahu banyak tempat menarik dalam negara kita sebenarnya. Hargailah warisan negara kita dan kunjunglah murid-murid. Rugi kalau tak kunjungi tempat-tempat tersebut.

    Berikut adalah gambar-gambar tempat tersebut. Nikmatilah dan seterusnya carilah info tempat tersebut. Maklumat semua sekarang semuanya hanya di hujung jari kita saja. Rajin-rajinlah menimba ilmu dengan melayari internet....

i) Pulau Langkawi...

 


ii)  Pulau Pinang



iii)  Kelantan




iv)  Terengganu

                   
                

    Baiklah anak-anak cikgu Jehan yang disayangi, cikgu hanya dapat mempamerkan tempat-tempat yang menarik hanya di empat buah negeri dalam Malaysia. Esok cikgu akan memuatnaik lagi negeri yang lain dan tempat-tempat tersebut.

    Bertemu lagi esok ya dan jangan lupa tinggalkan komen setelah membaca info ini. Terima kasih semua... 

JOM KITA LIHAT SUASANA UPSR DIUMUMKAN

Murid-murid Cikgu Jehan sekalian.

     Jom cikgu membawa murid-murid cikgu menghayati suasana persekitaran kawasan sekolah sebelum dan ketika pengumuman UPSR di dewan sekolah SKTM 1 Kluang....Suasana yang cukup mengembirakan dengan deraian air mata kegembiraan dan di sebaliknya. Apa-apa pun mereka dan ahli keluarga mereka sahaja yang tahu erti deraian air mata dan deraian ketawa.





















Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat atas kejayaan anak-anak murid SK TUNKU MAHMOOD (1) KLUANG, JOHOR pada tahun 2012.

UPSR OH UPSR!

Murid-murid Cikgu Jehan sekalian.
     Hari ini alhamdulillah cikgu berasa sangat gembira dan bangga dengan pencapaian keputusan UPSR yang diumumkan pada hari ini 19 November 2012. Bukan sahaja 25 orang mendapat 5 A akan tetapi peningkatan peratus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu sebanyak 99.25% bagi kedua-dua kertas Bahasa Melayu tersebut. Hanya seorang sahaja yang tidak lulus bagi kertas BM 011 dan 012.
     
     Cikgu ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada 131 orang calon UPSR 2012 dan cikgu Hjh. Saudah Nassiman, Hjh. Noor Jehan Mustapa, cikgu Taslimah Sekin dan cikgu Hanizah Abdullah dengan kejayaan dan keberkatan guru-guru menyampaikan ilmu kepada semua calon UPSR tersebut.







    Pesanan cikgu Jehan kepada anak-anak murid cikgu semua iaitu kepada 131 orang ini agar terus belajar dengan melipatgandakan usaha dan doa untuk meraih kejayaan di sekolah menengah nanti. Jaga jati diri dan pandai pilih kawan di sekolah menengah nanti ya....Rajin usaha tangga kejayaan!

    Kepada anak-anak murid cikgu yang akan menghadapi UPSR pada tahun 2013 jadikan kejayaan abang dan kakak kamu ini sebagai penyuntik semangat kepada kamu ya!

    Jumpa lagi esok dengan pelbagai info dan peristiwa yang menarik.    

Ahad, 18 November 2012

PERIBAHASA MELAYU


Jumpa lagi murid-murid cikgu Jehan sekalian.
Hari ini kita belajar peribahasa melalui tayangan video yang cikgu dapati dari You Tube. Cikgu berharap belajar cara ini dapat menambahkan minat anak-anak cikgu mencintai peribahasa dalam subjek Bahasa Malaysia. Mudah tak....
Selepas ini cikgu akan memuatnaik soalan-soalan sebagai latihan ulangkaji di musim cuti sekolah yang agak panjang juga.
Jumpa lagi esok....

RAJA DAN RAKYAT BERPISAH TIADA

Murid-murid cikgu Jehan yang disayangi sekalian,    
          Pada hari Sabtu iaitu 17 November 2012, Cikgu Jehan dan keluarga cikgu telah berkesempatan ke Istana Negara, Jalan Duta untuk menambahkan pengetahuan mengunjungi Istana Negara tersebut. Murid-murid sedia maklum bahawa istana tersebut merupakan bekas kediaman rasmi Yang Dipertuan Agong telah diadakan pameran dan info Yang Dipertuan Agong yang pertama sehinggalah sekarang. Cikgu Jehan begitu teruja dan gembira kerana dapat melihat pameran tersebut. Ini adalah kunjungan cikgu yang kedua selepas tahun 2005 di mana cikgu mengiringi suami cikgu menerima pingat daripada Yang Dipertuan Agong yang ke sebelas. Akan tetapi kali ini cikgu membawa semua ahli keluarga cikgu menghayati dan merasai suasana dalam istana iaitu ketika di dalam balai rong seri yang banyak berlaku peristiwa yang menarik. 

          Di sini cikgu memuatnaik gambar-gambar yang cikgu rakamkan ketika lawatan tersebut. Cuti sekolah masih panjang lagi jika anak-anak murid cikgu Jehan ke Kuala Lumpur jangan lepaskan peluang melawat Istana Negara Jalan Duta dan mengunjungi Pameran Raja Kita ya.
















Baiklah murid-murid cikgu Jehan sekalian, gambar yang terakhir itu ialah gambar ahli keluarga cikgu selepas lawatan kami tamat dan berkesempatan bergambar di pintu masuk balai rong seri.Untuk pengetahuan murid-murid,  ini adalah cerita pengalaman cikgu melawat pameran Raja Kita tersebut. Seterusnya, cikgu akan memuatnaik gambar-gambar dan menceritakan pengalaman lawatan kita di Kuala Lumpur seperti yang cikgu janjikan itu.
Akhir kata, Raja Kita dan Rakyat berpisah tiada dengan lawatan tersebut. Jumpa lagi esok...