HASIL TULISAN PENA : DR. ANWAR
DIPETIK DARIPADA BERITA HARIAN ONLINE
Sejak kemunculan sastera Melayu moden, sebahagian besar
penulis yang menghasilkan pelbagai genre sasteranya, baik secara langsung
mahupun tidak langsung, meniupkan semangat Islami dalam karya mereka. Memang
ada segelintir penulis Melayu yang menghasilkan karya tidak Islamik, umpamanya
novel berkecenderungan pornografik atau erotik, tetapi gejala ini tidak
melunturkan hakikat kesedaran kebanyakan pengarang kita akan sastera Islami.
Pengarang Melayu berkecenderungan untuk membangunkan dunia
fizikal dan mental melalui karya mereka. Di dalam cerpen, drama atau novel
pengarang memilih watak tertentu mewakili pandangan serta sikapnya. Hal ini
tidaklah asing kerana pengarang Melayu yang beragama Islam menyedari mengenai
falsafah agamanya yang sering menyeru ke arah peningkatan kebaikan.
Seruan ke arah kebaikan disebar melalui al-Quran, umpamanya
dalam Surah Ali Imran (3:104) bermaksud: Hendaklah ada di antara kamu umat yang
menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan makruf (yang baik-baik) dan melarang
daripada yang mungkar dan mereka itulah yang menang.
Kandungan yang baik, bernilai murni, serta mempunyai tingkat
kemanusiaan yang tinggi dalam karya sastera harus disebarkan dengan meluas. Nilai
murni serta dimensi positif kemanusiaan harus dikongsi dengan sebanyak mungkin
manusia. Dengan cara itu karya seni dapat meningkatkan aspek estetika dalam
diri manusia, di samping membentuk persefahaman yang merentas geografi, warna
kulit, kebudayaan dan kepercayaan.
Islamofobia Barat
Zaman di mana karya sastera Islami hanya beredar dalam wilayah
penduduk Islam sudah berlalu. Kita melihat bagaimana syair Hamzah Fansuri
berlegar di Nusantara. Kita sudah melihat bagaimana novel Hamka beredar di
dunia Melayu. Apa yang kita lihat itu adalah realiti pada suatu zaman tertentu,
yang tidak relevan lagi buat masa kini.
Selepas peristiwa 11 September, Islam dan penganutnya semakin
dipandang serong, ditakuti dan dicurigai terutamanya Eropah. Walau apa jua pendapat
atau teori konspirasi Peristiwa 11 September, gejala Islamofobia adalah
sebahagian daripada sejarah yang sedang berlaku di Barat.
Sebagai orang Islam dan sasterawan Melayu-Islam kita akan
berkata bahawa Islamofobia Barat adalah suatu kekeliruan dan tidak seharusnya
menghantui hidup mereka. Sebilangan sasterawan menzahirkan idea ini melalui
karya kreatif mereka, seperti umpamanya yang dilakukan SM Zakir dan pengarang
muda Pelita di Dalam Kaca atau nama sebenarnya, Kamaludin Endol yang muncul
dengan kejutan apabila novelnya Baldatun Thoiyyibatun memenangi Hadiah Sastera
Perdana 2011.
Sukar tembusi pasaran global
Tetapi karya seperti ini, yang cuba mengangkat kembali tamadun
Islam melalui akal budi, hujah serta tindakan rasional protagonisnya, bukan mudah
untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Benar bahawa karya terbabit wajar
dibaca oleh khalayak tempatan dulu, namun kerana kualiti olahan dan pemikiran
di dalamnya, kenapa ia sukar untuk menembusi pasaran global?
Islamofobia yang menebal akan menjauhkan sebilangan penerbit
dan sebahagian khalayak pembaca, terutama di Barat, daripada karya Islami yang
merekayasa naratif pasca 11 September. Sebahagian mereka lebih cenderung kepada
novel pascamodenisme, historisisme baru, yang berunsur realisme magis serta
membaurkan unsur pengintipan, jenayah dan seks. Mereka lebih memandang sastera
dari Amerika Latin, China, Jepun dan Eropah sendiri berbanding sastera Islam.
Kecenderungan di atas menyebabkan penerbit luar negara begitu
berhati-hati memilih karya sastera Islam daripada penulis tanah air. Peranan
penerbit luar negara adalah penting, jika kita ingin melihat karya sastera kita
dicetak dan dipasarkan pada peringkat antarabangsa. Mereka lebih cenderung
memilih karya dengan tema budaya, berbanding tema Islami sebagai sebuah agama
dan yang berkecenderungan ideologikal.
Beri alternatif terbaik
Sungguhpun kita berdepan kendala ini, usaha mengetengahkan
karya Islami yang bermutu melalui penterjemahan dan penerbitan di luar negara
wajar diteruskan. Kita mesti bersangka baik bahawa tidak semua khalayak pembaca
Barat dihantui Islamofobia atau tidak menyukai sastera Islam.
Khalayak pembaca Barat pernah menyukai puisi-puisi Omar
Khayyam, Muhammad Iqbal, Ibn Arabi, Mawlana Jalaludin Rumi dan sebagainya.
Mudah-mudahan jendela sastera mereka yang sudah terbuka itu, beransur-ansur
akan dapat menerima masuk karya Islami yang lebih bersifat pemikiran
kontemporari dan ideologikal.
Akhirnya kita juga mungkin boleh bertanya kepada pertubuhan
Islam antarabangsa seperti OIC atau nadwah persuratan Islam antarabangsa,
apakah program serta aktiviti mereka untuk mengetengahkan sastera Islam
kontemporari karangan penulis Islam seluruh dunia Islam kepada khalayak pembaca
seluruh dunia? Kita harus bersama-sama memberi alternatif terbaik kepada
sastera dunia terbaik bukan saja pada aspek tekniknya, tetapi yang lebih
penting, pemikiran serta tujuan murninya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan